in Articles, Kitafund

Terma & Syarat

Definisi

Pemula kempen: Pihak yang memulakan kempen di Kitafund. 

Dana: Jumlah wang (RM) terkumpul melalui kempen di Kitafund.

Kitafund: Pihak yang menguruskan pengumpulan dana di platform www.kitafund.com.

Bagi memudahkan pemula kempen memahami perjalanan dana sepanjang berkempen di Kitafund, dokumen ini dibahagikan kepada 3 fasa iaitu sebelum, semasa dan selepas pengumpulan dana. Sila baca dengan teliti untuk memahami proses pengumpulan sehingga penggunaan dana dengan jelas.

Fasa 1: Sebelum pengumpulan dana

1. Penggunaan Gambar dan Maklumat Kempen

Pemula kempen membenarkan Kitafund menggunakan maklumat dan gambar-gambar yang diberikan semasa proses untuk memulakan kempen untuk membantu penyebaran kempen. Gambar dan maklumat tidak akan digunakan untuk perkara-perkara yang tidak berkenaan dengan kempen.

Gambar-gambar dan maklumat kempen juga akan digunakan di media sosial rasmi Kitafund, termasuklah Instagram dan Facebook untuk membantu pemula kempen mencapai target kempen. Gambar dan maklumat kempen tidak akan digunakan selepas kempen berakhir. Gambar dan maklumat kempen yang telah digunakan dan disebarkan akan kekal di internet.

2. Data Peribadi Pemula kempen

Bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA), dan Standard Perlindungan Data Peribadi 2015, maklumat peribadi pemula kempen termasuklah nombor telefon, nombor kad pengenalan dan alamat tidak akan didedahkan kepada mana- mana pihak.

Fasa 2: Semasa pengumpulan dana

3. Tanggungjawab Pengumpulan Dana

  1. Pemula kempen bertanggungjawab untuk menyebar dan berkongsi kempen yang berlangsung selama 30 hari di Kitafund. Pemula kempen bertanggungjawab untuk menyebarkan kempen kepada keluarga, rakan-rakan, kenalan, dan rangkaian untuk membantu proses pengumpulan dana.
  2. Pemula kempen digalakkan untuk mengemaskini perkembangan dan info terbaru tentang keadaan pesakit di laman kempen untuk memberi motivasi kepada orang ramai untuk turut serta dalam amalan menyumbang (ripple effect).
  3. Gunakan rangkaian kenalan (network) dan pangkalan data (database) sedia ada untuk meuar-uarkan tentang kempen seperti rakan Facebook, ahli keluarga dan lain-lain.
  4. Sekiranya terdapat pertanyaan di media sosial mengenai kempen, Kitafund akan mendapatkan maklumat lanjut dari pemula kempen dan pemula kempen bertanggungjawab untuk memberikan maklumat yang lengkap dan benar.
  5. Pemula kempen bertanggungjawab SEPENUHNYA untuk membuat sebaran kempen supaya kempen dapat mencapai jumlah sasaran yang diperlukan. Pihak Kitafund tidak bertanggungjawab untuk membantu sebaran kempen.
  6. Pemula kempen TIDAK DIBENARKAN membuat sebaran kempen menggunakan nombor akaun bank peribadi. Jika pemula kempen didapati membuat perkara ini, kempen akan dihentikan serta-merta.
  7. Kempen yang hampir tamat tempoh tetapi masih belum mencapai sasaran dibolehkan untuk melanjutkan tempoh kempen tidak melebihi 3 kali lanjutan (untuk kempen yang tidak menggunakan iklan berbayar).
  8. Apabila ingin mengeluarkan dana, pemula kempen bertanggungjawab untuk maklum kepada admin. Pemula kempen juga bertanggungjawab untuk menyemak jumlah dana terkumpul terkini dari semasa ke semasa.

4. Pengiklanan

Pihak Kitafund yang akan memilih mana-mana kempen yang bersesuaian untuk diiklankan melalui Facebook Ads dan pemula kempen akan dihubungi oleh Kitafund sekiranya kempen mereka terpilih. Pemula kempen berhak menyatakan persetujuan atau tidak untuk membenarkan kempen mereka dibantu melalui pengiklanan.

Sekiranya pemula kempen bersetuju untuk membuat iklan, sejumlah 10.6% atau sehingga 15.6% (maksimum) daripada jumlah sasaran kempen akan dimasukkan dalam jumlah kempen untuk membantu mengiklan dan mempromosikan kempen. Contoh: Dana yang diperlukan di kempen ialah RM5,000. Sebanyak RM530 – RM780 (10.6% – 15.6%) akan dimasukkan ke dalam jumlah sasaran yang akan digunakan khusus untuk mengiklankan kempen. Jumlah yang akan dipaparkan di kempen adalah RM5,530 – RM5,780. Apabila kempen sudah berjaya, jumlah yang akan diterima adalah RM5,000 kerana RM530 (10.6%) telah digunakan untuk mengiklankan kempen.

Sekiranya pemula kempen menggunakan khidmat pengiklanan dari Kitafund, pemula kempen seterusnya bersetuju bahawa dana terkumpul di kempen akan digunakan terlebih dahulu untuk pembayaran iklan di Facebook Ads sebanyak 10.6% atau sehingga 15.6% dan pihak Kitafund tidak akan mengambil sebarang keuntungan/wang tambahan dalam bentuk apa jua sekalipun.

5. Caj Platform dan Gerbang Bayaran

Tiada caj yang dikenakan kepada Pemula Kempen untuk memulakan kempen di Kitafund. Caj hanya dikenakan kepada penyumbangyang membuat sumbangan di kempen. Caj yang dikenakan kepada penyumbang adalah seperti berikut:

  1. Caj Gerbang Bayaran (Payment Gateway).Caj ini dikenakan oleh pihak syarikat yang menguruskan gerbang bayaran. Kitafund tidak mengambil apa-apa keuntungan di atas caj yang dikenakan. Caj yang dikenakan adalah seperti di bawah, mengikut saluran gerbang bayaran:
      • Razer (Molpay): RM1/transaksi
      • Stripe: RM1 + 3% daripada sumbangan
      • E-wallet (Grab, Boost, TouchnGo): RM1/transaksi
  2. Caj Platform. Caj ini dikenakan oleh Kitafund. Tambahan caj sebanyak 5% daripada jumlah sumbangan akan dikenakan.
  3. Sebagai contoh, sekiranya penyumbang ingin membuat sumbangan sebanyak RM10 di kempen menggunakan Online Banking, jumlah yang perlu dibayar adalah RM10 (Sumbangan) + RM1 (Caj Gerbang Bayaran Molpay) + RM0.50 (Caj Platform Kitafund). Jumlah akhir yang akan dibayar oleh penyumbang adalah RM11.50 dalam satu transaksi.
Fasa 3: Selepas pengumpulan dana

6. Saluran Dana

Pengeluaran dana akan dilalukan berdasarkan pecahan kos di halaman kempen. Sekiranya kempen masih berjalan, hanya 1 bulan perbelanjaan dibenarkan untuk dikeluarkan. Pemula kempen bertanggungjawab untuk memaklumkan kepada pihak Kitafund dan mengisi borang pengeluaran sebelum tarikh ingin mengeluarkan dana daripada kempen.

Semua dana yang dikumpul akan disalurkan ke akaun pihak yang terlibat untuk pembayaran, contohnya hospital, pembekal, vendor, universiti, klinik dan organisasi. Untuk memastikan ketelusan pengurusan dana, Kitafund tidak akan menyalurkan dana kepada akaun persendirian pemula kempen. Bayaran akan dibuat mengikut prosedur yang dijelaskan di atas sahaja. Dana terkumpul adalah untuk kegunaan masa hadapan. Dana yang diperoleh dari Kitafund tidak boleh dituntut sekiranya wang anda sendiri telah digunakan sebelum atau selepas memulakan kempen.

Dana tersebut akan disalurkan secara berperingkat dan bukan sekali gus walaupun kempen telah mencapai 100% daripada sasarannya. Dana tidak boleh digunakan untuk membayar hutang. Walau bagaimanapun, syarat ini diketepikan sekiranya bayaran tersebut perlu dibayar terus kepada pembekal atau vendor masing-masing. Pihak pemula kempen dikehendaki menyediakan resit bagi semua perbelanjaan yang dibuat menggunakan dana yang diperoleh daripada Kitafund.

Sila pastikan anda memberikan semua maklumat yang diperlukan kepada pasukan Kitafund SEMINGGU SEBELUM hari pengeluaran untuk memastikan proses bayaran berjalan dengan lancar.

6.1 Saluran Dana ke Akaun Persendirian Pemula kempen
Dana yang dikumpul hanya untuk keperluan peribadi seperti susu formula, lampin, buku, makanan, dan kos pengangkutan akan disalurkan ke akaun peribadi pemula kempen.


Pemula kempen dikehendaki menyediakan resit bagi semua perbelanjaan yang dibuat menggunakan dana yang terkumpul di kempen.

7. Proses Saluran Dana

7.1 Selasa dan Khamis sahaja

Pengeluaran dana akan dibuat pada setiap hari Selasa dan Khamis.

Untuk memohon pengeluaran dana, pemula kempen perlu mengisi borang pengeluaran dana beberapa hari atau sehari awal sebelum Selasa atau Khamis. Borang yang baru diisi pada pagi Selasa atau Khamis tidak akan diproses pada hari yang sama.

Pemula kempen boleh menghubungi admin Kitafund di 013-5764738 untuk mendapatkan borang pengeluaran dana.

Jika terdapat sebarang pengeluaran dana kecemasan pada hari selain daripada Selasa atau Khamis, sila maklumkan kepada admin Kitafund sekurang-kurangnya SEHARI awal bagi melancarkan proses pengeluaran dana. Maklumkan pada admin situasi kecemasan yang dihadapi kemudian terus isi borang pengeluaran dana. Contoh situasi kecemasan adalah hospital baru memaklumkan tarikh pembedahan dan deposit perlu dibayar dalam masa terdekat. Situasi yang tidak dikira sebagai kecemasan adalah seperti pemula kempen terlupa untuk mengisi borang sebelum Selasa dan Khamis dan terlepas tarikh untuk mengeluarkan dana.

Sekiranya pemula kempen menghantar mesej untuk bertanyakan berkenaan dana selepas waktu bekerja pada hari Isnin atau Rabu, admin yang menguruskan bahagian pengeluaran dana hanya dapat membalas mesej selepas jam 12pm hari Selasa dan Khamis. Setiap pagi Selasa dan Khamis, admin akan terus menyemak butiran pengeluaran dana untuk Sekiranya pemula kempen menghantar mesej untuk bertanyakan berkenaan dana selepas waktu bekerja pada hari Isnin atau Rabu, admin yang menguruskan bahagian pengeluaran dana hanya dapat membalas mesej selepas jam 12pm hari Selasa dan Khamis. Setiap pagi Selasa dan Khamis, admin akan terus menyemak butiran pengeluaran dana untuk memastikan dana dapat diproses sebelum jam 2pm.

Jika Isnin atau Rabu adalah cuti umum, pemula kempen boleh mengisi borang pengeluaran dana seperti biasa pada hari Isnin atau Rabu (sehari sebelum) sebelum admin menyemak butiran lengkap pada pagi Selasa atau Khamis. Dana akan diproses pada keesokan harinya iaitu hari Selasa atau Khamis.

Jika Selasa atau Khamis adalah cuti umum, tiada pengeluaran dana akan dibuat.

7.2 Proses transaksi

Proses untuk dana dikreditkan ke akaun penerima mengambil masa sekurang-kurangnya (1) satu hari kerana prosedur daripada pihak bank. Jika pemindahan dana tidak berlaku/tidak berjaya selepas (1) satu hari, sila maklumkan kepada admin Kitafund.

Dana akan dikeluarkan secara berperingkat dan bukan sekaligus walaupun sasaran telah capai 100%.

7.3 Bukti Penggunaan Dana

Pemula kempen perlu mengemukakan bukti penggunaan dana yang telah dikeluarkan daripada Kitafund. Dana yang tidak pernah dikeluarkan tidak perlu dikemukakan sebarang bukti.

Pastikan bukti seperti resit pembelian barangan (pampers, susu) dikemukakan atau dikemaskini di laman kempen sebelum memohon pengeluaran berikutnya. Jika pemula kempen tidak memberikan sebarang bukti penggunaan dana yang lepas atau bukti tidak lengkap dan meragukan, Kitafund berhak untuk menyekat pengeluaran dana yang seterusnya sehingga bukti penggunaan dana telah mencukupi.

7.4 Pengeluaran Dana Yang Kedua dan Seterusnya

Untuk pengeluaran dana yang akan disalurkan kepada akaun pemula kempen seperti susu khas (rujuk 7.4), pengeluaran dana yang kedua atau seterusnya hanya boleh dilakukan apabila baki dana dalam tangan adalah kurang dari RM100 ATAU untuk kos lain yang belum pernah dikeluarkan ATAU untuk kes kecemasan yang dibenarkan oleh team Kitafund sahaja.

Pengeluaran dana yang kedua atau seterusnya hanya boleh dilakukan selepas (1) gambar-gambar resit pembelian barangan dan (2) format kemaskini penggunaan dana yang dicadangkan oleh admin telah diisi dengan lengkap.

Polisi ini digunapakai untuk mengelak sebarang penyalahgunaan dana oleh pemula kempen dan mengelak kesulitan di pihak pemula kempen apabila dana dikeluarkan dalam jumlah yang besar dan boleh menyebabkan pemula kempen gagal untuk melampirkan bukti penggunaan dana dengan lengkap.

7.5 Konsep Penggunaan Dana Kitafund

Dana terkumpul di Kitafund adalah untuk penggunaan akan datang. Dana terkumpul BUKAN untuk dituntut (claim) selepas wang persendirian telah digunakan.
Resit penggunaan dana termasuk pembelian barangan mestilah SELEPAS tarikh pengeluaran dana, bukan sebelum dana dikeluarkan.

7.6 Perubahan Pecahan Kos

Jika kos sudah berubah daripada kos asal yang tertera di kempen, pemula kempen PERLU memaklumkan terlebih dahulu kepada admin supaya kos boleh dikemaskini di laman kempen. Kemaskini perlu dilakukan terlebih dahulu kerana:

  1. Dana akan dikeluarkan mengikut pecahan kos yang terkini
  2. Penderma akan memaklumkan dana akan digunakan untuk item yang mana dan berapa jumlah (untuk memastikan ketelusan dana)

Pemula kempen tidak dibenarkan menggunakan dana berlainan dengan kos yang dinyatakan di kempen. Pastikan sebarang perubahan kos dimaklum kepada admin terlebih dahulu terutamanya sebelum dana dikeluarkan. Pemula kempen dibenarkan untuk mengemaskini kos (tambah atau ubah kos) tidak melebihi TIGA KALI. Ini bagi mengelakkan pembaca, khususnya penderma keliru jika kos terlalu kerap berubah.

8. Penyalahgunaan Dana

Semua dana yang dikumpulkan TIDAK BOLEH digunakan untuk kegunaan atau keperluan selain yang dinyatakan di laman kempen. Dana adalah hasil sumbangan daripada orang ramai maka dana hendaklah digunakan untuk tujuan yang dinyatakan di dalam kempen sahaja.

Kitafund bukan sahaja satu platform untuk mengumpul dana tetapi juga bertanggungjawab untuk memastikan dana digunakan sebaiknya untuk keperluan yang dinyatakan dan tiada sebarang unsur salah guna yang berlaku. Ini adalah tanggungjawab Kitafund yang diamanahkan oleh para penyumbang dan juga bagi memastikan ketelusan penggunaan dana.

9. Kepentingan resit

Pemula kempen perlu melampirkan resit mengikut jumlah yang sama dana dikeluarkan oleh Kitafund sebagai bukti dana telah digunakan untuk perkara yang dinyatakan dalam kempen sahaja. Penggunaan dana tidak boleh digunakan untuk perkara yang tidak dinyatakan dalam kempen. Resit-resit penggunaan dana juga adalah bukti kepada penderma kempen bahawa dana telah digunakan sebaiknya mengikut pecahan kos yang tertera di laman kempen.

9.1 Jumlah resit adalah bersamaan dana yang dikeluarkan

Pemula kempen perlu meletakkan resit yang secukupnya di bahagian “Kemaskini” kempen untuk dipaparkan kepada penderma yang telah menderma di kempen. Pemula kempen bertanggungjawab melampirkan resit-resit penggunaan dana dan mengemaskini resit tersebut di laman kempen atau dalam group WhatsApp untuk orang ramai dan penderma melihat penggunaan dana tersebut.

9.2 Resit yang tidak cukup dan kemaskini template yang tidak lengkap

Jika resit yang dilampirkan tidak mencukupi, pihak Kitafund tidak akan mengeluarkan dana untuk pengeluaran seterusnya.

9.3 Pembelian barangan keperluan pemula kempen

Sila pastikan anda TIDAK menggunakan duit sendiri dan membuat tuntutan (claim) selepas membuat pembelian. Pengeluaran dana akan dibuat terlebih dahulu, sebelum pihak pemula kempen boleh membeli barang-barang keperluan yang dinyatakan dalam kempen. Penggunaan dana adalah untuk pembelian akan datang dan bukan untuk pembayaran hutang dan tuntutan (claim) selepas pembelian.

Semua dana yang dikumpulkan tidak boleh digunakan untuk kegunaan atau keperluan selain yang dinyatakan di laman kempen. Dana adalah hasil sumbangan daripada orang ramai maka dana hendaklah digunakan untuk tujuan yang dinyatakan di dalam kempen sahaja.

10. Kesan Penyalahgunaan Dana

Jika dana daripada kempen didapati telah disalahguna oleh pemula kempen samada melalui kegagalan melampirkan bukti penggunaan dana dengan lengkap ATAU atas maklumat dari orang ramai, Kitafund akan mengambil langkah-langkah yang berikut:

  1. Menyiasat lebih lanjut berkenaan penyalahgunaan dana
  2. Jika didapati unsur penyalahgunaan dana telah berlaku hasil dari siasatan, Kitafund akan menghentikan kempen serta-merta.
  3. Para penyumbang akan diberi notifikasi automatik melalui emel berkenaan penyalahgunaan yang berlaku.
  4. Dana terkumpul akan dikembalikan semula kepada para penyumbang ATAU disalurkan kepada kempen kecemasan perubatan.
  5. Pemula kempen tidak dibenarkan untuk meneruskan kempen atau membuat kempen yang baru lagi.

Antara contoh penyalahgunaan dana:

  • Menggunakan dana bukan untuk kos yang dinyatakan. Contoh: Dana berjumlah RM100 dikeluarkan untuk pembelian pampers bayi yang sakit, tetapi RM100 digunakan untuk makan minum harian keluarga.
  • Tidak melampirkan resit yang mencukupi. Tanpa bukti resit penggunaan dana yang lengkap, penggunaan dana yang betul tidak dapat dikenalpasti.
  • Menggunakan dana untuk “claim” bayaran yang telah dibuat menggunakan duit sendiri.

Jika pemula kempen didapati menyalahguna dana, Kitafund berhak untuk memindahkan dana kepada kempen lain selepas mendapat persetujuan penderma. Kitafund juga berhak untuk mengembalikan dana kepada penderma, jika ada penderma yang mohon untuk dikembalikan wang mereka.

11. Menolak Permohonan Pemula Kempen

Sebagai platform yang bertanggungjawab untuk menguruskan dana, Kitafund berhak untuk menolak permohonan pemula kempen untuk membuat kempen baharu dan juga permohonan untuk menyambung jumlah hari kempen berlangsung (untuk kempen yang tidak menggunakan iklan berbayar) apabila pemula kempen didapati melanggar polisi yang dinyatakan dalam dokumen perjanjian ini.

Faktor-faktor yang diambil kira sebelum menolak permohonan melanjutkan hari kempen berlangsung atau permohonan kempen baharu termasuk:

  1. Tatacara komunikasi antara pemula kempen dan Kitafund
  2. Kerjasama yang kurang baik daripada pemula kempen. Contoh: Jarang balas mesej, soalan sering tidak dijawab, kempen tidak disebarkan
  3. Salah guna dana atau gagal melampirkan resit secukupnya
  4. Sering menukar kos tanpa sebab yang kukuh
  5. Melanggar polisi
  6. Situasi lain yang menyulitkan keadaan sepanjang kempen berlangsung

Keputusan daripada hasil perbincangan Kitafund untuk menolak permohonan kempen baharu atau menyambung jumlah hari kempen adalah muktamad.

12. Kematian (Untuk kempen perubatan manusia sahaja)

12.1 Pendaftaran Tabung Khairat Kematian

Setiap pemula kempen atau pesakit yang memulakan kempen di Kitafund diwajibkan untuk mendaftar dengan Tabung Khairat Kematian Kitafund. Tujuan tabung ini diadakan adalah untuk membantu keluarga jika sekiranya berlaku kematian. Sehubungan dengan itu, pemula kempen atau pesakit akan didaftarkan dalam pakej Individu (jika berumur 18 tahun dan ke atas) atau pakej Keluarga (jika berumur 18 tahun ke bawah). Jika berlaku kematian, sebanyak RM1,500 akan disalurkan kepada waris pesakit sebagai wang khairat kematian yang di ambil daripada Tabung Khairat Kematian Kitafund.

12.2 Menjelaskan bil tertunggak hospital

Jika berlaku kematian, kesemua baki tertunggak hospital akan dijelaskan terlebih dahulu menggunakan dana yang telah terkumpul.

12.3 Lebihan Dana

Jika terdapat lebihan selepas menjelaskan bayaran bil-bil atau jika tiada sebarang bil yang perlu dijelaskan, lebihan dana akan disalurkan kempen Dana Sembuh atau kempen lain yang memerlukan terutamanya kempen yang perlu dana segera untuk pembedahan dan rawatan.

13. Kemaskini Penggunaan Dana & Perkembangan Pemula kempen

Pemula kempen bersetuju untuk mengemaskini perkembangan semasa kepada semua penderma di laman kempen. Ini bertujuan untuk melibatkan penderma yang telah menderma kepada kempen pemula kempen dalam kehidupan seharian pemula kempen dan berkongsikan perkembangan dengan penderma yang mengambil berat mengenai keadaan pemula kempen.

Para penderma akan mendapat notifikasi automatik setiap kali kemaskini dihantar. Pemula kempen perlu mengemaskini perkembangan semasa sekurang-kurangnya sekali sebelum pengeluaran dana yang ketiga.

Selepas dana sudah dikeluarkan kepada pemula kempen, adalah satu tanggungjawab pemula kempen untuk menyimpan resit dalam satu fail atau terus kongsikan dalam group WhatsApp bagi mengelakkan resit hilang, tercicir atau hilang dakwat dan tidak dapat dibaca.

Bagi melancarkan proses pengeluaran dana yang kedua dan seterusnya, pastikan pemula kempen telah lampirkan bukti penggunaan dana di laman kempen atau dalam group WhatsApp berserta template penggunaan dana mengikut format yang dicadangkan.

Untuk melampirkan resit terus di laman kempen, minta bantuan admin untuk cara-cara mengemaskini resit di laman kempen. Jika mempunyai kesukaran untuk mengemaskini di laman kempen, boleh nyatakan bukti resit dan penggunaan dana ke dalam group WhatsApp Kitafund.

14. Pengurusan Dana

Dalam mana-mana situasi yang memerlukan perbincangan lanjut berkaitan dana yang terkumpul, Kitafund sebagai pemegang amanah berhak membuat keputusan tentang dana.

Ini termasuklah membuat keputusan tentang:

  1. sekiranya pesakit/pemula kempen meninggal dunia/salah guna dana/melanggar polisi, dana yang terkumpul akan disalurkan ke kempen aktif yang lain di Kitafund.
  2. baki dana yang tinggal akan di salurkan ke kempen yang aktif sekiranya maklum balas dari pesakit/pemula kempen tentang dana tidak diterima dalam masa satu minggu.
  3. penggunaan dana terhad dalam tempoh setahun daripada tarikh kempen yang dilancarkan.
  4. Dana yang tidak dituntut dalam tempoh 1 TAHUN dari tarikh akhir pengeluaran dana akan dipindahkan kepada kempen Kitafund yang berada dalam kategori yang sama

atau mana-mana perkara yang berkaitan dan tidak hanya terikat dengan perkara-perkara yang dinyatakan di atas.

Polisi Kitafund

Polisi ini perlu diikuti oleh setiap individu yang terlibat kerana setiap pemula kempen di Kitafund akan dibantu oleh Kitafund untuk memastikan semua pemula kempen berjaya mengumpulkan dana dan mencapai sasaran yang dinyatakan di kempen.

Polisi ini juga diwujudkan untuk menjaga dan mengekalkan kepercayaan orang ramai khususnya penyumbang-penyumbang akan ketelusan proses pengumpulan dana di platform Kitafund.

Jika terdapat sebarang salah faham dan/atau maklumat yang tidak jelas selepas perjanjian ini ditandatangani, pemula kempen boleh memulakan satu perbincangan lanjut dengan Kitafund untuk berbincang penyelesaian yang terbaik bagi kedua-dua pihak. Jika pemula kempen didapati melanggar persetujuan hasil perbincangan kedua-dua pihak, Kitafund akan mengambil tindakan seperti yang digariskan dengan terperinci dalam polisi ini.

Kitafund berhak untuk meminda atau mengubah mana-mana terma dan syarat yang telah dikemukakan dalam perjanjian ini dan sebarang perubahan akan dimaklumkan kepada pemula kempen melalui medium komunikasi yang digunakan seperti WhatsApp group.

Perjanjian ini diambil maklum oleh pihak pemula kempen dengan rela hati, tanpa sebarang paksaan daripada mana-mana pihak.

Saya telah membaca semua maklumat di atas dan memahami setiap maklumat yang dinyatakan. Saya juga bersetuju dengan semua maklumat di atas.

Dikemaskini pada 31 May 2023 

Have Your Say!