in Articles

5 Cara Untuk Bantu, Cegah dan Merawat Kemurungan.

Jangan tunggu sehingga terlambat.

(Gambar utama diambil dari Loudwire.com)

When my time comes/ Forget the wrong that I’ve done/ Help me leave behind some/ Reasons to be missed – Linkin Park, Leave Out All The Rest

Pada awal pagi 21 Julai 2017 (waktu Malaysia), masyarakat sedunia terkejut dengan berita bahawa penyanyi terkenal Linkin Park, Chester Bennington, telah mengambil nyawanya pada usia 41 tahun.

Lagu-lagu beliau merupakan ikon bagi ramai generasi millenial yang membesar dengan hit seperti Leave Out All The Rest, Numb dan In The End.

Dia dilaporkan menghadapi kemurungan. Dalam temuduga, Bennington pernah meluahkan bahawa beliau hampir membunuh diri akibat tekanan disebabkan pengalamannya didera sebagai kank-kanak.

Kemurungan & Pelajar Di Kalangan Rakyat Malaysia

Kemurungan bukan sesuatu yang hanya berlaku pada selebriti sahaja.

Ia wujud di kalangan keluarga dan rakan-rakan kita.

Menurut laporan New Straits Times (NST) pada September 2016, tinjauan yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia mendapati bahawa 1 dalam setiap 5 pelajar di Malaysia menghadapi kemurungan. Ini merupakan peningkatan 20% daripada kadar pada tahun 2011.

Bayangkan satu kelas yang ada 40 orang. Mengikut tinjauan ini, di dalam kelas itu, kemungkinan besar 8 daripada mereka menghadapi kemurungan.

Seperti diterangkan oleh ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, sesiapa sahaja boleh terkesan dengan kemurungan: lelaki atau wanita, tua atau muda, tanpa mengira bangsa, keturunan atau negara. Selain pelajar, guru-guru juga telah dilaporkan menghadapi tekanan dan kemurungan di Malaysia.

Tanda-tanda Penyakit Kemurungan

Dr. Amer Siddiq daripada Universiti Malaya memberi 9 tanda yang digunakan oleh pakar psikologi dan doktor untuk mengesan kemurungan. Tanda-tandanya termasuk:

1. Perasaan murung atau sering marah-marah hampir sepanjang hari dan hampir setiap hari dalam tempoh dua minggu. Perasaan ini dilaporkan oleh pesakit secara subjektif seperti perasaan rendah diri ataupun daripada pengamatan orang luar contohnya selalu menangis.

2. Tidak bersemangat atau tidak berminat melakukan aktiviti sosial yang biasa dilakukan hampir setiap hari. Contohnya tidak berminat untuk bersukan lagi atau berjumpa dengan sanak-saudara.

3. Berat badan merosot (~5%) daripada asal dalam waktu yang singkat atau kurang selera makan.

4. Corak tidur berubah, sama ada kurang tidur (insomnia) atau terlebih tidur (hypersomnia).

5. Perubahan dalam melakukan aktiviti seharian, sama ada terlebih aktif atau kurang aktif.

6. Selalu letih dan kurang tenaga dalam melakukan aktiviti harian.

7. Perasaan bersalah yang tidak setimpal dengan  sesuatu kesalahan perbuatan  atau merasakan diri tidak berguna

8. Tidak mampu memberikan konsentrasi atau  berfikir secara rasional. Pesakit juga merasakan susah untuk membuat keputusan dalam kehidupan hariannya.

9. Berfikir tentang  keinginan untuk mati atau bunuh diri dengan kerap, atau mempunyai pelan masa hadapan untuk membunuh diri.

(Sumber: The Malaysian Medical Gazette)

Kemurungan boleh dihadap oleh sesiapa pun.

Gambar dari Astro Awani

5 Cara Untuk Membantu Dan Mencegah Kemurungan

Jika anda atau seorang yang anda kenali menghadapi kemurungan, segeralah mendapatkan bantuan secepat mungkin.

Kemurungan membunuh. Dr Kamaruddin Alias meberitahu Astro Awani bahawa “Sebanyak 60 kes bunuh diri dilaporkan setiap bulan di seluruh negara, tidak termasuk kes percubaan membunuh diri serta kes yang tidak didaftarkan atau tidak disahkan sebagai bunuh diri.”

Pada bulan Mac 2017, seorang guru berumur 30 tahun di Malaysia cuba mengambil nyawa dirinya dengan lompat daripada bangunan sekolah di Putrajaya.

Dan di April 2017, seorang anak murid bersekolah di Pahang hampir-hampir membunuh diri dengan cara sama, tetapi dapat diselamatkan dipujuk oleh ahli bomba selama 20 minit.

Di sini, kita ingin senaraikan 5 cara yang boleh membantu dan mencegah kemurungan di kalangan pelajar-pelajar seperti kita.

1. Tingkatkan Kefahaman Tentang Kemurungan

Segalanya bermula daripada kita sebagai individu.

Tanpa kefahaman yang mendalam, sangat mudah untuk menganggap kemurungan sebagai satu yang remeh atau tidak wujud. Ini sungguh berbahaya, kerana keluarga, sahabat dan masyarakat sepatutnya merupakan tempat pertama bagi seorang yang murung untuk mendapat sokongan.

Dr Noor Hisham Abdullah menyeru agar:

“…semua rakyat Malaysia supaya memahami dengan lebih mendalam lagi tentang aspek kesihatan mental di mana ia sebenarnya adalah sama penting seperti aspek kesihatan fizikal.”

2. Menyebarkan Kesedaran Dan Menangani Stigma

Tidak mencukupi untuk meningkatkan kefahaman diri – kita harus cuba menyebarkan kesedaran di kalangan masyarakat.

Selain membantu memberi ilmu pada masyarakat, ini sangat penting untuk memastikan bahawa sesiapa yang menghadapi kemurungan tidak rasa stigma untuk memperolehi kebantuan.

Menurut Dr. Noor Hisham Abdullah, setiap anggota masyarakat dalam hal ini memainkan peranan utama:

“Peranan ahli keluarga, rakan-rakan dan rakan sekerja juga amat penting bagi membantu golongan yang mengalami kemurungan untuk berbincang, membantu dan memberikan sokongan kepada golongan ini untuk pulih.”

3. Meluahkan Perasaan Anda Kepada Mereka Yang Dipercayai

Perasaan yang dipendam buat masa lama boleh mengakibatkan ketibaan penyakit seperti kemurungan jika tidak diluahkan.

Keadaan ini lebih teruk lagi jika individu itu merasa bahawa tiada sesiapa pun yang dia percayai. Selain menangani stigma, terdapat usaha untuk memberikan tempat mengadu bagi sesiapapun di Befrienders Malaysia.

Para pekerja dan sukarelawan di Befrienders Malaysia telah menyediakan pelbagai cara untuk menghubungi mereka, dan ceritakan apa-apa pun masalah yang dihadapi.

Mereka dapat dihubungi dengan cara-cara berikut:

  • Talian telefon 24-jam di +60 3-7956 8144
  • E-mel di [email protected]
  • Menghantar PM kepada Laman Facebook Befrienders KL
  • Perjumpaan secara fizikal di pejabat mereka: 95, Jalan Templer, Petaling Jaya, 46000, Petaling Jaya, Selangor, 46000, Malaysia

Jika anda ingin tahu dengan lebih lanjut apa yang berlaku apabila anda membuat panggilan kepada Befrienders Malaysia, baca artikel ini daripada Vulcan Post yang bertajuk Read This If You’ve Thought Of Calling Befrienders M’sia But Never Had The Guts To.

4. Mendapat Perbantuan Profesional Dari Pihak Universiti

Jika anda seorang pelajar universiti, anda mungkin tahu bahawa terdapat khidmat counselling bagi setiap pelajar – selalunya dengan percuma.

Walaupun ini bukan terhad kepada mereka yang menghadapi kemurungan, pakar-pakar di sana pasti dapat membantu anda dalam menangani sebarang masalah emosi dan psikologi anda.

Pada masa yang akan datang, kita akan cuba mengumpulkan kesemuanya klinik kesihatan pelajar di universiti-universiti seluruh Malaysia untuk kemudahan anda.

Buat masa ini, tanya kepada professor atau staff universiti untuk memastikan di mana anda boleh mendapatkan bantuan.

5. Jangan Tunggu Lagi Untuk Mendapat Atau Memberi Bantuan

Mungkin kita kenal seseorang yang menghadapi kemurungan.

Mungkin kita kenal seorang yang membunuh diri akibatnya.

Mungkin kita menghadapi kemurungan atas masalah-masalah tertentu.

Jangan berlengah lagi. Hulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan, dan sebarkan kasih sayang di antara semua.

Bak kata pepatah Melayu, “Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.”

Itulah makna sebenar satu masyarakat. Satu community.


Jika anda bermanfaat daripada artikel ini, jangan lupa share bersama semua rakan-rakan anda melalui Facebook, Twitter atau Whatsapp.

Jika anda menghadapi masalah atau kemurungan, ketahui bahawa terdapat seorang yang sayangi kamu. Carilah bantuan segera kerana matahari akan kembali lagi. ❤️

Pesanan kepada graduan baru: Renungan seorang usahawan I.T yang berjaya

 

Have Your Say!